Friday, August 13, 2010

Jadi Yang Minoriti?

DSC01349

Talhah ibn Ubaidullah r.a.
Beliau merupakan salah seorang antara 10 sahabat Nabi s.a.w. yang dijanjikan syurga Allah s.w.t. Antara kisah Talhah ibn Ubaidullah r.a. yang masyhur ialah semasa perang Uhud, di saat kucar kacir di mana semua tentera musyrik ingin membunuh Rasulullah s.a.w, beliau telah menjadi perisai Nabi s.a.w. menepis semua serangan ke atas baginda Nabi. Walaupun parah diserang bertubi-tubi dengan anak panah, tombak dan pedang,Talhah r.a. tetap teguh melindungi Rasulullah s.a.w. Ada sumber yang mengatakan pada saat itu juga dua jari Talhah r.a. telah terpotong oleh senjata kafir musyrik. Keberanian dan pengorbanan beliau ini tidak lain dan tidak bukan adalah atas dasar cinta yang kuat kepada Allah, Rasul-Nya dan Islam. Rasulullah s.a.w. menggelarnya “Syahid yang Hidup” atas pengorbanannya yang besar dan keberanian beliau.

Asma binti Abu Bakar r.a.
Semasa peristiwa Hijrah ke Madinah, Asma binti Abu Bakar r.a. menghantar makanan kepada Rasulullah dan Saidina Abu Bakar r.a yang pada ketika itu sedang bersembunyi di Gua Thur. Asma binti Abu Bakar r.a. mendapat gelaran “Dzatu An Nithaqayn” yang bermaksud 'Wanita yang mempunyai dua ikat pinggang' kerana beliau telah mengoyakkan tali ikat pinggangnya kepada dua, sebelah untuk membungkus makanan Rasulullah dan ayahandanya, manakala sebelah lagi untuk ikat pinggang. Keberanian Asma binti Abu Bakar r.a. amat dikagumi kerana sanggup menempuh bahaya di saat orang-orang kafir Quraiysh Mekah pada ketika itu sedang giat mencari Rasulullah s.a.w. untuk membunuh baginda s.a.w.

Ummu Sulaim r.a. (Al-Ghumaisya’ bintu Milhan)
Beliau merupakan sahabiyah yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. Sabda Nabi s.a.w.; ”Aku masuk syurga lalu aku terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata aku sedang berhadapan dengan Al-Ghumaisya’ bintu Milhan” [HR Bukhari]
Ummu Sulaim r.a. adalah antara wanita Madinah yang terawal memeluk agama Islam dan telah malafazkan syahadah sebelum peristiwa hijrah lagi. Walaupun kehidupan beliau boleh dikatakan hanya “cukup makan” Ummu Sulaim r.a. sering memberi hadiah kepada Rasulullah s.a.w. dan juga talam yang berisi kurma yang merupakan makanan kegemaran baginda. Selain itu, Ummu Sulaim r.a. turut sama turun padang membantu di medan perang dengan memberi minuman dan mengubati luka tentera Islam walau ketika sedang mengandung. Keberanian yang ditonjolkan oleh Ummu sulaim r.a menjadikan beliau beroleh kemuliaan jihad seiring dengan para Mujahidin.

* * * * * * * * * *

Sengaja berkongsi kisah para sahabat dan sahabiyah kerana kagum dengan rasa kecintaan mereka kepada baginda Nabi s.a.w. Tak tehitung pengorbanan mereka sehingga ada yang sanggup berkorban nyawa demi Islam atas rasa cinta yang teguh kepada Allah s.w.t. dan RasulNya.
Antara persoalan yang timbul; Sejauh mana cinta kita kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.? Sehebat mana usaha dan pengorbanan yang mampu kita atau mahu lakukan demi Islam? Adakah kita berani membela Islam dan syariatnya yang kini bukan lagi menjadi “trend” masayarakat majoriti?
Firman Allah s.w.t. dalam beberapa surah yang bermaksud;

“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan.”[6:116]

“...dan mereka tidak mengingati Allah kecuali hanya sedikit” [4:142]

“...dan bertutur katalah yang baik kepada manusia, laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat. Tetapi kemudian kamu berpaling (mengingkari), kecuali sebahagian kecil dari kamu...” [2:83]

“Berada dalam syurga kenikmatan, segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu, dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian.” [56:12-14]

Dalam ayat-ayat di atas, dapat diperhatikan kalimah “QALEEL” yang bermaksud sedikit atau kecil menunjukkan mereka yang benar-benar taat kepada Allah s.w.t. dan rasulNya terdiri daripada golongan minoriti. Kalau diperhatikan “trend” zaman moden ini, terbukti jelas akan kebenaran ayat-ayat al-Quran di atas.

Namun begitu, diakui bahawa untuk kita mendidik diri hari demi hari pada zaman ini bukanlah satu perkara yang mudah. Tetapi dengan keberanian dan pengorbanan untuk tergolong dalam kumpulan yang “kecil” itu, serta kemahuan dan usaha untuk mendidik diri, rasa cinta Allah dan rasulNya dapat dipupuk, insyaAllah. Marilah bersama muhasabah kembali dan tanyakan pada diri, apa tindakan kita sekarang?

Peringatan buat diri dan semua…

Wallahua’lam.

1 comment:

Anonymous said...

Semuga kita tetap di jalan yang lurus dan mendapat keampunan daripadaNya. Amin...